Undilah

SULTANMUZAFFAR (26 Februari 2002 - sekarang)

Seorang blogger, pelayar internet, penyelam scuba dan penagih tegar televisyen dan Wii. Melihat seluruh dunia di laman blog menerusi kamera DSLR dan kacamata tebalnya (kadang-kadang kanta lekap).

Mengkritik tidak bererti menentang, menyetujui tidak semestinya menyokong, menegur tidak bermakna membenci, dan berbeza pendapat adalah kawan berfikir yang baik.
Entri oleh sultanmuzaffar 29 July 2004

Akademi Fantasia IIDiari Akademi Fantasia 08-07-08

I Love You
Saya menyukai improvisasi yang dilakukan oleh Adam dan Linda. Nampak seperti orang yang sudah matang bercinta. Berbeza dengan Farah dan Kaer yang nampak seperti budak darjah enam bercinta. Ada unsur-unsur childish yang keterlaluan walaupun mutu lakonan mereka menjadi. Zahid dan Linda berunsur penuh komedi. Linda sememangnya tidak tahan dengan keletah Zahid yang agak nakal tentunya mengganggu konsentrasi beliau. Sekali-sekala tercabar juga kesabaran Cikgu Fauziah Nawi.

Sidang Akhbar
Secara jujur kelas ini wajar diadakan sejak minggu pertama. Memang banyak perkara baru yang penting buat semua pelajar. Asas-asas komunikasi dan penampilan diri dapat mereka belajar sebelum menempuh ke satu dunia baru. Cara menjawab soalan, cara duduk dan berinteraksi dengan para wartawan dan lain-lain. Hanya pengalaman yang boleh mengajar para pelajar tentang perkara tersebut.

Corrie dan Kaer
Gerak dan langkah pendekar Kaer untuk lagu ini juga kurang menjadi walaupun ia lebih baik dari yang dicipta oleh Cikgu Linda Jasmine. Langkah silat sebegitu memang memerlukan pergerakan yang tajam dan tangkas jika tidak memang nampak lemah lembut sahaja. Silat memang menjadi asas tarian lelaki. Jika boleh bersilat sudah tentu boleh menari. Tarian yang saya maksudkan ialah tarian yang lebih bersifat kelakian yang langkah tidak terlalu berlenggok wanita.

Bebas Berlari Farah
Pergerakan Farah sudah mula menampakkan keyakinan. Pergerakan agak serabut apabila kesemua pelajar turut sama membantu. Saya lebih menyukai sekiranya fokus ditumpukan hanya kepada Farah seorang sahaja pada bahagian-bahagian utama.

Kasih Adam
Apa yang boleh saya katakan tentang koregrafi lagu Adam ialah sebuah koreograf yang menarik. Perbincangan antara mereka berdua dilakukan untuk mendapatkan posisi yang menarik. Cuba perhatikan kawan-kawan Adam yang memerhatikan Adam berlatih menari dari belakang dengan penuh tekun. Apa yang saya dengar, Adam perlu melatih pengeluaran vokalnya. Kedengaran macam tidak keluar atau pun mungkin silap nada. Seperti terlalu rendah.

Era di Akademi Fantasia
Pengalaman lama Nana sebagai pelajar Akademi Fantasia diturunkan kepada pelajar Akademi Fantasia II. Dapat juga kita lihat Nana kembali ke Akademi Fantasia. Dulu bukan di situ tetapi di banglo yang berbeza tetapi semangatnya masih sama. Tidak banyak yang ada dalam episod tengahari ini.

Kelas Muzik Ramli MS
Zahid pada pandangan saya telah menyanyikan lagu tersebut dengan baik. Boleh berpuas hati dengan persembahannya. Sedap didengar. Kawalan vokal beliau amat baik dan beliau berjaya menghasilkan bunyi-bunyi yang enak didengar. Beliau tidak terlalu berlebihan dan tidak berkurangan. Cukup sederhana. Jangan terkejut jika lagu Semusim ini akan popular setelah Zahid menyanyikannya. Seperti kata Ramli MS, Zahid boleh menggunakan pelbagai teknik dalam lagu tersebut. Beliau boleh mengadaptasi setiap ilmu yang dipelajarinya untuk lagu ini.

Masih biasa sahaja persembahan Linda. Vokal beliau sedap untuk lagu sebegini. Lenggoknya menjadi. Mungkin kerana penghayatannya yang masih belum kuat dan lagu ini kelihatan biasa.

Pada pendapat saya Farah perlu bijak mengawal sela vokal beliau. Bila bahagian rendah, terlalu rendah sehingga tidak kedengaran tetapi bila lantang, terlalu lantang pula sehingga membingitkan. Farah masih belum mendapat penghayatan untuk lagu ini. Masih nampak kaku dan tidak ceria.

Kelas Cikgu Siti Hajar
Saya lebih menggemari penyampaian Zahid sewaktu di hadapan Ramli MS berbanding di hadapan Cikgu Siti Hajar. Persembahan Zahid masih kurang dan kedengaran masih kasar pada beberapa bahagian. Jika Kaer yang menyanyikan lagu ini tentu sahaja macam kacang putih. Bagi saya, Zahid masih perlu memperbaiki lenggok-lenggok R&Bnya untuk mengindahkan lagu ini. Beliau perlu tambah sedikit vibrato di sana sini dan tambah ad-lib untuk memberikan sedikit kelainan pada lagu tersebut.

Bob bakal menghadapi malam paling sukar buatnya. Sebuah lagu yang diharapkan agar Zahid menyanyikannya akhirnya dapat kepada beliau. Bagaimana hasilnya tentu sahaja bakal menggerunkan semua orang lebih-lebih lagi di saat-saat kritikal kepada Bob. Silap haribulan, lagu Alhamdulillah bakal menjadi penamat hari-hari beliau di dalam Akademi Fantasia. Nyanyian Bob memang mendatar kecuali kedengaran nyanyian penyanyi latar yang sememangnya sudah serasi dengan lagu sebegini.

Sempat juga Zahid mencadangkan dengan Kaer untuk bertukar suka sama suka lagu mereka. Setiap pelajar tentunya mempunyai pilihan lagu masing-masing.

Aktivis Teater Antarabangsa di Akademi Fantasia
Lillete Dubey yang memegang watak ibu dalam Monsoon Wedding telah dibawa ke dalam Akademi Fantasia untuk bertemu para pelajar. Aktivitis teater terkenal yang datang dari Mumbai, India ini sememangnya dikenali di negaranya. Beliau yang sedang mengadakan persembahan teater di The Actors Studio meluangkan sedikit masanya. Pelajar Akademi Fantasia begitu bertuah kerana bukan mudah untuk bertemu seorang bintang antarabangsa sepertinya. Beliau yang bertutur dalam Bahasa Inggeris tentunya memberi sedikit kesukaran kepada pelajar yang lain. Cikgu Fatimah banyak menterjemahkan maksud yang ingin disampaikan oleh beliau. Terlalu banyak ilmu baru yang boleh diperolehi dalam sedikit masa tersebut tetapi mungkin kerana perbezaan bahasa menyebabkan tidak banyak ilmu baru yang dapat diserap. Kata Lillete Dubey, orang teater adalah seorang yang versatile. Ada dua cara mereka bekerja, sama ada bekerja dari dalam atau pun bekerja dengan luaran.

Surat Wasiat Dimonopoli Pelajar Lelaki
Semua pelajar memilih pelajar lelaki untuk membacakan surat wasiat mereka di mana Zahid terpilih untuk membaca tiga surat wasiat, Adam dua, Kaer dan Dr Sher Kawi masing-masing satu. Linda meneruskan tradisi seperti minggu lalu bila mana meminta Tenaga Pengajar membacakan surat wasiatnya.

Bayangkan Madonna Menyanyikan Mentera Semerah Padi
Anda pernah terbayang Madonna menari sambil menyanyi lagu Mentera Semerah Padi ? Semalam saya dapat menonton aksi-aksi yang jarang kita lihat di Malaysia. Entah mengapa saya cukup tidak suka dengan koreograf lagu tersebut. Bila Cikgu Siti Hajar menyarankan agar Kaer menyanyikan lagu ini dengan firm, sebaliknya dilakukan oleh Cikgu Linda Jasmine. Beliau telah memperempuankan lagu Mentera Semerah Padi dengan koreograf yang amat lembut dan tidak sesuai sama sekali dengan lagu tersebut. Analoginya seperti melakukan aksi headbanging bila menyanyikan lagu Raihan. Gerak langkah tari yang dicipta oleh Cikgu Linda Jasmine itu tempatnya bukan di Dewan Sivik untuk Konsert Akademi Fantasia tetapi sebaliknya iaitu di Athens untuk acara gimrama di Sukan Olimpik. Ingin sekali saya melihat riak muka M.Nasir apabila menonton persembahan Kaer ini kelak.

Adam: Please Break The Wall !
Please break the wall ialah nasihat yang diberikan oleh salah seorang pegawai sumber manusia di pejabat saya kepada saya. Katanya saya hidup dalam dunia saya yang tersendiri tanpa menghiraukan keadaan sekeliling. Adam saya lihat perlu merobohkan tembok malunya apabila berada di pentas. Sudah beberapa minggu saya lihat Adam agak malu-malu apabila berbicara dengan Aznil dan juga masih mengawal pergerakannya dalam persembahannya. Adam harus bijak menggunakan kelebihan dan unsur kenakalan dalam lagu ini untuk dieksploitasi sehingga dapat mengumpan undi penonton. Lagu Kasih ini ada tarikan tersendiri. Adam perlu terus mengekalkan perwatakannya dalam lagu tersebut sehingga tamat tanpa henti. Peminat perempuan sudah pasti menyukainya.

Jom Join Party Like This Sabtu Ini
Seperti lagu Khayalan di Akademi Fantasia I, lagu ini bakal meletup dengan persembahan yang menarik dari para pelajar Akademi Fantasia II. Saya suka dengan koreografnya. Menarik dan mudah. Saya mahu mendengar kemantapan vokal mereka satu-satu. Itu yang lebih utama. Pelajar lelaki lebih berkeyakinan dengan lagu ini. Semangat Kaer, Adam dan Zahid benar-benar berada pada tahap tertinggi untuk lagu ini. Untuk pelajar perempuan, nampaknya Linda dan Farah lebih berkeyakinan. Tetapi saya lebih menyukai gerak dan langkah Mas menari ikut rentak lagu ini. Beliau nampaknya lebih yakin dengan langkah lagu ini.