Diari Akademi Fantasia 06-03-04
Perbezaan Yang Dikenal Pasti
Cikgu Siti Hajar dapat merasai perubahan yang berlaku ke atas para pelajarnya. Semangat mereka seakan sudah hilang. Tekanan semakin hebat. Lagu semakin banyak yang perlu dihafal. Bukan semakin mudah. Semakin sukar. Koreografi semakin pelik dan semakin sukar. Walaupun cabaran semakin hebat tetapi semangat mereka semakin hilang. Itu yang Cikgu Siti Hajar rasai. Mereka seakan-akan sudah penat dan mahu sahaja keluar dari Akademi Fantasia.
Jika dibandingkan Akademi Fantasia I dan II, memang jauh benar perbezaannya. Lagu-lagu di musim pertama tidaklah sesukar musim kedua. Seperti minggu ini, kebanyakan lagu tiada elemen popular dalam lagu mereka iaitu lagu-lagu lama yang semakin dilupakan kecuali beberapa pelajar. Tekanan semakin dirasai. Emosi semakin terserlah lebih-lebih lagi kepada peminat mereka.
Kita harus tahu apa yang kita buat. Baru ada manafaat. Itulah sebabnya kita harus mempelajari teori. Kita tidak harus membandingkan antara satu sama lain. Mereka memiliki suara yang sama, bakat yang sama tetapi hanya ilmu yang membezakan mereka antara satu sama lain.
Satu nasihat penting buat saya semalam, kesederhanaan itu amat penting dalam hidup, tetapi janganlah terlalu merendah diri. Tiada siapa yang akan membantu kita melainkan diri sendiri.
Lagu Bonus
Sebuah lagu bertajuk Memory dari teater Broadway Cats. Saya pernah menonton teater ini sewaktu ianya dipentaskan di Istana Budaya dan di London. Sebuah teater yang menarik dan lagu Memory merupakan lagu paling nostalgik dalam teater tersebut. Ia pernah dinyanyikan oleh Barbara Streisand. Untuk menyanyikan lagu-lagu dari teater tentulah memerlukan penghayatan yang lebih kerana lagu-lagu tersebut punya cerita. Setiap mereka perlu ada perwatakan masing-masing, kemudian baru diberikan teknik dan seterusnya diberikan mood pada lagu tersebut.
Memory merupakan sebuah lagu yang sukar. Ia boleh mengundang sedih, boleh mengundang kegembiraan, boleh mengundang harapan. Memang sukar. Latihan yang cukup dalam masa yang singkat merupakan cabaran paling getir buat mereka.
Mas : Lontarkan Vokal
Nyanyiannya perlu ada penghayatan. Perlu ada character. Bukan sekadar nyanyian. Beliau harus melepaskan vokalnya. Barulah dinamakan menyanyi. Beberapa bahagian agak mendatar. Mas tidak sungguh-sungguh melontarkan vokalnya. Sekali lagi Mas memulakan latihannya dengan perkataan negatif. Susah ! Mas, tidak perlulah negatif lagi. Buat dahulu, kemudian baru tahu susah tidak susah.
Farah agak risau apabila menyanyikan lagu Ya Maulai. Beliau takut disamakan dengan Siti Nurhaliza. Beliau harus bijak mencipta gaya tersendiri untuk lagu tersebut.
Catwalk Corrie
Linda dan Corrie belajar catwalk. Betul seperti kata YH yang sedar tentang keintiman Linda dan Corrie. Di mana ada Linda, di situ ada Corrie. Sejak ketiadaan Fitri, Linda seakan-akan menjauhkan diri. Beliau tidak banyak bercampur.
Menuju Puncak
Ada julang-menjulang dalam Menuju Puncak kali ini. Mereka dipasangkan untuk menghasilkan kombinasi yang lebih menarik lagi. Adam dan Bob ditugaskan untuk menjulang Farah. Kombinasi Zarina dan Linda ada keserasian. Mereka nampak seksi. Mas dan Kaer kelihatan agak comel macam ibu dan anak. Zahid berlatih bersama Corrie. Tempat Nurul digantikan sementara waktu oleh Corrie. Di mana Nurul ya ? Sejak akhir-akhir ini beliau sering tidak kelihatan.
Phantom Of The Opera
Lagu ini tidak ada dalam senarai lagu tetapi sekadar menjadi bahan untuk latihan. Mereka harus mengisikannya dengan rasa.
Kaer : Bromley Versi Moden
Sebuah susunan muzik yang agak moden. Ada perubahan yang agak drastik pada lagu tersebut. Hilang keasliannya. Mungkin untuk memberikan sedikit sentuhan moden untuk disesuaikan dengan Kaer. Beliau harus menjaga tempo lagu tersebut agar kena dengan lagu tersebut. Lagu ini banyak low tone tetapi vokal Kaer tidak berapa jelas. Beliau perlu berhati-hati sedikit di bahagian yang agak rendah. Hanya kedengaran angin sahaja. Beliau turut memberikan idea tentang persembahannya kepada Cikgu Siti Hajar.
Keroncong Untuk Adam
Vokal Adam agak mendatar. Terlalu awal untuk dinilai. Adam harus berani untuk membuka mulutnya untuk melontarkan vokalnya. Adam ini seperti takut-takut untuk membuka mulutnya. Seakan-akan menjaga penampilannya. Tidak perlu control hensem sewaktu menyanyi. Cikgu Siti Hajar sendiri menasihatkan beliau agar menjatuhkan rahangnya. Adam harus ingat, pergerakan rahang turut menjadi alat untuk menghasilkan suara. Mulut pun tidak berani buka, bagaimana suara hendak keluar.
Farah dibayangi dengan igauan Siti Nurhaliza. Sekalipun betul apa yang dinyanyikan oleh beliau, ia tetap dibayangi dengan imej Siti Nurhaliza. Beliau benar-benar takut dibandingkan dengan Siti Nurhaliza. Memang kedengaran sedikit ciri-ciri Siti Nurhaliza, beliau harus berani mencuba untuk membawa lagunya dengan imej tersendiri.
Zarina masih kurang bertenaga membawakan lagu tersebut. Vokalnya masih lemah. Lagu Penantian memerlukan tenaga vokal yang agak power. Lebih lantang dan tidak terlalu meleret seperti sekarang. Banyak yang boleh dibaiki.
Encik Julian dan Bob
Kelibat Encik Julian kelihatan membantu Bob dalam sebutan Bahasa Inggerisnya. Bob banyak mendapatkan bantuan beliau untuk memperbetulkan sebutannya. Hari ini ialah hari Bob mempelajari sebutan.
Farah Dapat Stamina, Mas Dapat Apa ?
Memang seronok melihat gelagat Mas di Akademi Fantasia. Beliau seorang yang lurus dan jujur. Sudah beratus kali, kenyataan itu diulang-ulang. Mas lurus, Mas jujur. Tetapi sayangnya beliau tidak banyak memanafaatkan peluang yang diperolehi di situ. Farah gigih bersenam untuk meningkatkan staminanya untuk lagu Ya Maulai yang agak tinggi. Sebaliknya Mas bergelak ketawa mendapatkan angin dan meniru perlakuan Zarina. Farah sempat memanggil Zarina untuk melihat impersonafikasi Mas terhadapnya. Zarina menontonnya dan berlalu begitu sahaja.
Sekadar Prihatin
Sebuah koreografi yang biasa untuk lagu Zahid iaitu Where Is The Love. Cukup-cukuplah dengan koreograf yang ada. Biar tidak sukar dengan lagu ini. Zahid pun tentunya tidak mahu koreograf yang sukar kerana tumpuannya lebih tertumpu kepada lirik lagu tersebut.
Sekadar bersifat prihatin, beberapa komen telah diberikan di dalam artikel sebelum ini iaitu beberapa lirik dalam lagu tersebut tidak sesuai dinyanyikan oleh pelajar yang beragama Islam. Adalah lebih sesuai sekiranya hanya Linda yang membantu Zahid pada bahagian tersebut. Terdapat tiga gaya koreograf yang perlu mereka lakukan.
Panti Asuhan
Sambil bermain gitar berseorangan, Linda berlatih lagu tersebut. Menutup tirai Diari Akademi hari tersebut.
0 komen