Konsert VI Akademi Fantasia : Tiada Kejutan, Keputusan Yang Sudah Dijangkakan
Keputusan telah dibuat. Tiada apa yang perlu dikesalkan. Mahu tidak mahu kejutan sebegini pasti muncul dalam Akademi Fantasia kerana itulah keunikan Akademi Fantasia yang tiada pada rancangan yang lain. Maka barulah rancangan ini meletup sebagaimana tersingkirnya Rosma pada Konsert yang sama di Akademi Fantasia I. Tiada kejutan pun sebenarnya kerana saya sudah boleh menyangka ia akan berlaku dan hasilnya saya menang betting tersebut. Sepatutnya letak tawaran tinggi-tinggi kerana untungnya lebih tinggi. Jangan terkejut sekiranya ada yang menawarkan RM50 untuk setiap pelajar. Perjalanan ke puncak Zarina baru bermula, tiada apa yang perlu ditangiskan kerana Zarina kini seorang bintang Akademi Fantasia yang akan bekerjasama dengan Khai, Rosma, Anding, Edlin dan lain-lainnya. Kini, kita hanya ada Zahid, Kaer, Adam, Bob, Linda, Farah, Nurul dan Mas untuk kita tonton di dalam Akademi Fantasia sehingga kita singkirkan seorang demi seorang untuk Kemuncak Konsert Akademi Fantasia II.
Perubahan pada ranking pelajar mungkin berbeza selepas menonton konsert di dewan dan selepas menonton siaran ulangan di Saluran 15. Perubahan ini wajar dibuat kerana ambience di dewan dan di rumah agak berbeza juga harus dinilai dengan sistem audio yang juga sedikit berbeza antara satu sama lain.
Kedudukan Sebelum Konsert
Rata-rata keputusan ini hampir tepat. Kebanyakan pengundi menunggu sehingga konsert untuk mengundi kerana apabila undi naik, peserta yang mereka undi akan dipintas semula oleh pelajar lain. Strategi mengundi harus ada. Lebih baik mengundi pada waktu konsert dari menumpukan sepenuh perhatian kepada persembahan.
Zahid 13%
Mas 13%
Linda 13%
Adam 12%
Kaer 11%
Zarina 11%
Bob 10%
Farah 10%
Nurul 9%
Pengkritik Profesional
Hetty Koes Endang merupakan seorang pengkritik profesional yang wajar dikekalkan untuk Akademi Fantasia. Beliau bijak menggunakan pengalamannya untuk memperbaiki kelemahan pelajar yang ada. Beliau tidak malu dan lokek untuk menerangkan perincian kelemahan yang boleh dibaiki. Beliau seorang yang jujur kerana jika tidak arif dalam irama rap beliau tidak memberikan pandangannya, sebaliknya dinilai pada aspek persembahan. Hani Mohsin Hanafi pula mengkritik dari aspek persembahan serta penampilan pelajar dan Kudsia Kahar meneruskan tradisi mengkaji dari segi perubahan pelajar di Akademi Fantasia.
Persembahan Pelajar
Mas – Semakin Hari Semakin Sayang 6.8/10
Saya akui penghayatannya bagus. Persembahannya minggu ini jauh lebih bagus dari minggu lepas. Mutu vokalnya agak unik. Saya akui perkara itu. Cuma beliau perlu lebih tekun belajar untuk memanafaatkan vokal beliau untuk masa depan beliau. Ilmu ada di depan mata, yang perlu beliau lakukan hanya belajar. Penguasaan pentasnya masih boleh diperbaiki. Beberapa bahagian pada vokal beliau agak mendatar. Beliau harus bijak mengawal tone vokal beliau dan bukan sekadar menyanyi sahaja. Idea persembahan beliau sudah ada Cuma perlu menambah perisa kepada showmanship beliau untuk mencantikkan lagi pergerakan-pergerakan beliau di atas pentas. Beliau masih kurang karisma untuk beraksi di pentas selain keyakinan yang tidak pernah muncul dalam persembahannya.
Kaer – Epilog Cinta Dari Bromley 8/10
Gimik “music box” yang digunakan untk persembahan Kaer agak menjadi. Lakonan mereka berdua serta pergerakan-pergerakan yang cantik dan selari dengan tempo lagu amat menarik. Penghayatan beliau terhadapa lagu ini juga bagus walaupun interaksi beliau dengan kamera agak kurang. Beliau mempunyai x-factor yang membolehkan penghayatan serta tahap keyakinan beliau meninggi bermula dari minggu ini. Cara beliau mewarnai lagu ini dengan persembahannya wajar dipuji. Susunan muzik lagu ini dibuat begitu indah dan sesuai dengan imej Kaer sendiri. Beliau dimasukkan kembali ke dalam Pilihan Lima Terbaik saya. Beliau harus kembali semula untuk memancing emosi penonton melalui vokal dan lagu-lagunya yang indah.
Farah – Ya Maulai 7.5/10
Penguasaan pentasnya masih lemah. Beliau masih tercari-cari gaya showmanship yang boleh dipersembahkan. Penghayatannya masih kurang untuk lagu sebegini. Kawalan vokal beliau bagus terutama pada bahagian tinggi. Keunikan beliau ialah proses melontarkan vokal bahagian tingginya yang mantap serta sebutan beliau yang jelas. Setiap bahagian lirik kedengaran begitu jelas dan mesej lagu tersebut sampai kepada penonton. Bahagian qasidahnya juga berjaya melarikan diri dari imej Siti Nurhaliza. Beliau harus mendapatkan ilmu dari para tenaga pengajar tentang cara mendapatkan kredibiliti apabila berada di pentas. Persembahannya amat mudah untuk dilupakan kerana tiada unsur yang spektakular.
Bob – I Can See Clearly Now 8.3/10
Kejutan untuk Bob ialah sewaktu bapanya datang menemuinya sebelum membuat persembahan. Bapanya diterbangkan oleh Astro dari Limbang untuk Bob. Keyakinannya semakin memuncak. Persembahannya mantap. Showmanship beliau hebat. Kawalan vokal beliau cukup dijaga dengan baik. Lagu yang tidak biasa di telinga penonton menjadi begitu indah apabila disampaikan oleh Bob dengan cemerlang. Sebutan beliau masih boleh diperbaiki. Penguasaan pentasnya amat hebat sekali. Beliau selesa di pentas. Seakan sudah biasa membuat persembahan. Beliau harus menjaga penampilan beliau agar untuk disukai terus oleh pengundi-pengundinya.
Adam – Keroncong Untuk Ana 7.3/10
Dengan bantuan pemuzik live dari Yayasan Warisan Johor, persembahan Adam nampak bagus walaupun tidak seperti yang diharapkan. Persembahan Adam pada minggu lepas jauh lebih hebat. Beliau agak tidak selesa dengan lagu keroncong sebegitu sehingga tersilap sebut. Kegugupannya banyak mengganggu. Ketidak-selesaannya dalam mengenakan pakaian sedemikian sedikit sebanyak membantutkan ketrampilan beliau di atas pentas. Nyanyian beliau ada yang sumbang. Pergerakan tangannya masih sama sahaja. Beliau harus mendapatkan ilmu tentang penampilan di pentas. Apabila tidak menyanyi lagu yang memerlukan Adam menari, beliau nampak kaku di pentas. Interaksi beliau dengan kamera juga amat meresahkan. Sesuatu yang bagus tentang Akademi Fantasia, ia memberi peluang kepada generasi muda untuk lebih mengenali keroncong. Beliau sedaya upaya untuk mengawal kegugupan beliau itu. Ekspresi wajah beliau masih belum menyerlahkan mesej lagu tersebut. Persembahan penyanyi latar juga amat harmoni dengan vokal Adam dan banyak membantu persembahan Adam.
Zarina – Penantian 7.3/10
Showmanship beliau bagus dan hebat. Vokal beliau masih boleh diperbaiki. Sebutannya tidak jelas. Menurut Hani Mohsin, kerana menumpukan perhatian kepada pergerakan dan showmanship beliau sebenarnya terlupa untuk menghayati lirik lagu tersebut. Beliau harus bijak mengawal tone suara beliau. Masih jelas sebutannya menghadapi masalah yang agak besar. Menurut Hetty Koes Endang, lagu tersebut seperti air dan beliau harus menyanyikan lagu tersebut secara lebih flow. Zarina sewajarnya memberikan rasa baru kepada lagu tersebut dan bukannya meniru gaya Bienda. Masalah rasa seperti yang diutarakan oleh Farihin pada minggu-minggu awal menjadi masalah yang besar kepada Zarina. Zarina perlu mencipta imej baru pada lagu-lagu nyanyiannya. Saya suka showmanship beliau yang agak matang dan bertenaga dari minggu ke minggu. Bantuan Adam untuk rap juga amat bertenaga dan kena dengan persembahannya.
Nurul – Ku Mohon 7.4/10
Ini antara persembahan terbaik Nurul. Saya seakan-akan berpuas hati dengan persembahan lagu diva pujaan saya iaitu Sheila Majid. Tumpuan saya banyak terganggu kerana menantikan kemunculan Sheila Majid pada bahagian akhir lagu tersebut. Memang kecewa. Beliau membawakan lagu ini dengan rasanya yang tersendiri walaupun ia hanya berlaku selepas separuh lagu tersebut didendangkan. Masih terdapat beberapa masalah pitching tetapi berjaya ditutup kelemahan tersebut dengan penghayatan yang amat baik sekali. Ekspresi wajah beliau amat kena dengan lagu tersebut. Penguasaan pentasnya masih kurang. Karisma beliau di pentas tidak memukau. Saya menonton persembahan beliau kerana lagunya dan bukan orangnya. Teknik pernafasannya perlu diperbaiki kerana ajaran Cikgu Siti Hajar tidak dipraktikkan oleh beliau di atas pentas. Beliau mencantas beberapa perkataan pada lirik lagu tersebut. Amy Mastura turut muncul untuk memberikan beliau hadiah satu teddy bear berwarna pink.
Zahid – Where Is The Love 9.5/10
CEMERLANG ! Tahap keyakinan beliau untuk lagu ini sememangnya hebat. Beliau begitu selesa di pentas. Bantuan Linda, Kaer dan Adam mencantikkan lagi lagu ini. Showmanship beliau bersahaja dan sesuai dengan persembahan tersebut. Persembahannya amat bertenaga dan beliau bijak untuk mengawal teknik pernafasannya dan lagu tersebut berjaya disampaikan dengan berjaya. Penghayatan beliau terhadap lagu ini sememangnya bagus. Penonton menyukai lagu tersebut, penyanyinya dan penampilannya. Saya mengharapkan beliau diberi peluang untuk mendendangkan lagu Alhamdulillah. Beliau kekal dalam Pilihan Lima Terbaik saya.
Linda – Panti Asuhan 9.3/10
Sebuah persembahan yang hebat. Nyata kehadiran Hetty Koes Endang tidak menggugat penghayatan serta keyakinan beliau di atas pentas. Beliau sebaliknya membawa penonton untuk menghayati lirik lagu tersebut bersama-samanya. Ekspresi wajah beliau yang memaparkan sedikit kesedihan berjaya meruntun hati penonton lalu terbawa emosi mereka ke dalam kesedihan. Kawalan vokal beliau amat cemerlang. Penghayatan beliau nyata sampai sehingga beliau sendiri mengalirkan air mata. Sebutannya amat jelas dan beliau amat bersungguh-sungguh memperbaiki kesilapan minggu-minggu terdahulu. Menurut Hetty Koes Endang, penjiwaannya amat cukup dalam membawakan lagu itu. Satu aspek yang masih perlu diperbaiki oleh Linda ialah teknik penguasaan pentasnya yang masih kelihatan kaku dan tidak tahu mahu buat apa. Sebuah persembahan yang hebat tidak semestinya memerlukan seseorang penyanyinya bergerak bebas untuk menarik perhatian penonton. Cukup sekadar dengan berdiri. Beliau kembali ke dalam Pilihan Lima Terbaik saya.
Memories – 9.8/10
Sebuah persembahan yang layak mendapat standing ovation. Pada awal minggu saya merasa agak sangsi yang lagu ini dapat dipersembahkan dengan baik oleh mereka. Nadi utama kehebatan lagu ini terletak pada Bob, Linda, Zarina, Farah dan Zahid. Bob menjadi tunjang pada bahagian tinggi dan beliau menyempurnakan tugasnya dengan cemerlang. Rata-rata pelajar berjaya menghayati lagu tersebut dengan baik sekali. Walaupun Adam tertinggal satu baris lirik pada lagu tersebut ia sedikit pun tidak mencacatkan keseluruhan persembahan. Pelajar lain bijak menutup kelemahan tersebut dan tidak panik. Pujian yang harus diberikan untuk Mas yang tidak panik meneruskan barisnya dalam lagu tersebut. Persembahan lagu ini semangatnya datang dari kemunculan Datuk Rahim Razali. Saya bangun memberikan standing ovation kerana persembahan ini amat hebat dan semangatnya terasa di dalam dewan.
Menuju Puncak
Menujuk Puncak terakhir buat Zarina bersama-sama rakan-rakannya. Semangat Menuju Puncak terhenti buat Zarina di sini. Bijak dalam undian amat subjektif. Bijak menilai pada wajah, bijak menilai keletah pelajar, bijak menilai bakat mereka dan bijak kerana SMS milik pengundi. Perkembangan Zarina dalam lagu Mencintaimu, Awallah Dondang, My Immortal, Satu Cinta Dua Jiwa, Pulangkan dan Penantian belum cukup untuk menarik perhatian pengundi. Kesabaran Zarina apabila diusik oleh Aznil tentang hubungannya dengan Khai belum cukup untuk menutup kisah tersebut. Pengundi telah memberikan jawapan mereka. Saya sendiri sudah menjangkakan mimpi ngeri tersebut akan berulang semula seperti ada aura negatif di Konsert VI kali kedua ini. Di Konsert VI Akademi Fantasia I ia menjadi mimpi ngeri buat pengundi Rosma kini tragedi tersebut berulang kembali. Tidak sukar untuk menelah siapakah pelajar yang tersingkir pada setiap minggu, lebih-lebih lagi setelah mengkaji trend dan selera pengundi Malaysia. Kedudukan persembahan turut memainkan peranan.
Linda seakan tergamam kerana tidak percaya akan keputusan yang telah dibuat oleh penonton. Begitu juga dengan Zahid yang berkali-kali mengucapkan “tidak adil, tidak adil”. Mas menangis teresak-esak dan berlalu jauh dari pelukan pelajar perempuan. Perkara yang sama berlaku pada guru-gurunya yang agak sedih dengan keputusan tersebut. Cikgu Fauziah Nawi sendiri menggelengkan kepalanya kerana tidak percaya dengan keputusan tersebut.
Pilihan Lima Terbaik saya bertukar lagi nampaknya. Saya meletakkan Zahid untuk kekal dalam senarai saya dan memasukkan semula Linda dan Kaer. Saya masih belum memikirkan pengganti Zarina kerana selain Zarina, Bob berkemampuan untuk menggantikan tempatnya. Tetapi besar kemungkinan Bob akan tersingkir minggu hadapan kerana selera pengundi Malaysia berbeza-beza.
Persembahan Terbaik SM
Memories – 9.8/10
Zahid – Where Is The Love 9.5/10
Linda – Panti Asuhan 9.3/10
Bob – I Can See Clearly Now 8.3/10
Kaer – Epilog Cinta Dari Bromley 8/10
Farah – Ya Maulai 7.5/10
Nurul – Ku Mohon 7.4/10
Zarina – Penantian 7.3/10
Adam – Keroncong Untuk Ana 7.3/10
Mas – Semakin Hari Semakin Sayang 6.8/10
Kedudukan Undian Sejurus Selepas Konsert
Untuk pengetahuan semua, ini adalah undi SMS yang dibawa ke minggu seterusnya. Besar kemungkinan ini juga adalah undian yang tidak masuk. Peratusan yang besar untuk tiga pelajar terakhir yang membuat persembahan. Adakah ini bermakna, undian tidak masuk untuk Zarina dan hilang entah ke mana. Zahid, Nurul dan Linda masih bernasib baik kerana kekal untuk minggu seterusnya.
Zahid 20%
Nurul 19%
Linda 15%
Bob 11%
Farah 11%
Kaer 9%
Adam 8%
Mas 8%
Nota: YES ! Menang betting ! Tekaan saya tepat ! Siapa yang kalah tu, jangan buat-buat lupa ya ! Untuk minggu ketujuh, saya mungkin pilih Bob untuk terkeluar.
0 komen