Undilah

SULTANMUZAFFAR (26 Februari 2002 - sekarang)

Seorang blogger, pelayar internet, penyelam scuba dan penagih tegar televisyen dan Wii. Melihat seluruh dunia di laman blog menerusi kamera DSLR dan kacamata tebalnya (kadang-kadang kanta lekap).

Mengkritik tidak bererti menentang, menyetujui tidak semestinya menyokong, menegur tidak bermakna membenci, dan berbeza pendapat adalah kawan berfikir yang baik.
Entri oleh sultanmuzaffar 28 June 2004

Novel Bersiri Akademi Impiana: Bahagian 16



Timah baru selesai kerja shif malam. Dia keluar dari kawasan kilang tempat dia bekerja. Di luar kilang, dia mendapati Rahmat telah lama menunggu. Rahmat bekerja di kilang bersebelahan sebagai penjaga stor. Kerjanya membawa barang-barang keluar masuk ke dalam stor. Kerja Timah pula sebagai operator pengeluaran.

Timah dan Rahmat sebenarnya telah bersama sebagai sepasang kekasih sejak enam bulan yang lepas. Mereka telah diketemukan ketika Timah sedang berlari-lari anak ke arah perhentian bas untuk berlindung dari hujan lebat. Kebetulan pada ketika itu Rahmat, yang berusia dua puluh empat tahun, dua tahun lebih tua dari Timah, sedang menaiki motor kapcainya untuk pulang ke rumah sewanya.

Keadaan jalan raya yang becak telah membuatkan air dan lumpur terpercik membasahi pakaian yang dipakai Timah sewaktu Rahmat sedang membawa motornya di sisi Timah. Timah menjerit sekuat hati sambil memaki hamun apabila pakaiannya yang sedia basah itu kini dikotori lumpur. Rahmat berhenti untuk meminta maaf. Timah bermasam muka, tetapi Rahmat hanya mampu tersengih. Dalam keadaan hujan semakin lebat, Rahmat menjemput Timah agar menaiki motor kapcainya. Timah bersetuju, maka bermulalah persahabatan mereka yang nampaknya berkekalan sehingga ke hari ini...

“Semalam Akademi Impiana best ke?” tanya Rahmat. Dia menggaru-garu jambangnya yang baru hendak tumbuh itu. Matanya kuyu.

“Ada segment bila budak-budak tu hantarkan pesanan video kepada Adlina...” Beritahu Timah. Timah memakai topi keledar yang diberikan Rahmat sebelum dia menaiki motornya.

“Mesti diorang menangis lagi, kan?” tanya Rahmat, dia membawa motornya ke arah sebuah warung berdekatan untuk makan pagi.

“Biasalah.” Jerit Timah untuk memastikan agar suaranya dapat didengar Rahmat.

“Siapa yang paling kuat menangis?” tanya Rahmat bersungguh-sungguh.

“Farah dan Indra... Romantik kan?” tanya Timah kembali. Rahmat tidak menjawab. Dia terus membawa motornya laju-laju sehingga mereka tiba di warung.

Di warung di tepi kegemaran Timah dan Rahmat nampaknya dipenuhi dengan pelanggan-pelanggan yang datang untuk bersarapan. Seperti biasa, Rahmat memesan teh tarik dan Timah pula Milo panas. Mereka sama-sama memakan nasi lemak bungkus yang tersedia di atas meja.

“Tak sukalah tengok Akademi Impiana ni... Banyak kali tengok diorang menangis. Ntah apa-apa jer. Poyo!” tiba-tiba Rahmat bersuara.

“Alah, dalam keadaan diorang tu... Hidup tanpa hubungan dengan dunia luar. Tak ada TV, tak ada radio. Tak boleh berhubung dengan keluarga. Mestilah emosi!” bantah Timah.

“Tak kan lah lelaki pun nak emosi lebih-lebih?” tanya Rahmat.

“Awak tak kan tak pernah emosi?”

“Kalau sekadar nak berpisah sekejap, tak payah nak emosi lebih-lebih. Macho lah sikit!”ujar Rahmat bersungguh-sungguh. “Awak ada nampak saya menangis melalak-lalak ke bila saya hantar awak balik kampung kat Pudu bulan lepas? Tak ada kan?”

“Sebab awak tak sedih!”

“Siapa kata saya tak sedih?” Wajah Rahmat nampak serius. “Tu lah, kita dah bersama dah nak dekat enam tujuh bulan... Tu pun awak tak tahu perasaan saya.”

“Kalau awak sayangkan saya, awak dah menangis macam Indra.”

“Eh mengarutlah. Melalukan kaum lelaki jer. Awak ingat saya ni apa? Tak ada maruah ke?” Rahmat membantah. Nafasnya turun naik.

“Alah, kita nak gaduh-gaduh ni pun buat apa?”

“Takdelah nak gaduh.”Rahmat menyuapkan nasi lemak ke dalam mulutnya. Dia mengunyah semahu-mahunya.

Timah berdecit. Dia suka melawan. Tetapi kali ini dia mendiamkan dirinya sahaja. Dia mendapati Rahmat tidak banyak bercakap seperti biasa yang dilakukannya. Rahmat terus makan tanpa sedikitpun memandang ke dalam wajahnya.

“Katakanlah saya mati... Awak menangis tak?” tanya Timah dengan perlahan.

“Menangis lah. Tapi tak kan nak menangis macam orang gila pulak macam si Indra tu.”

“Dia ada asma lah.”

“Dah tahu ada asma, cool lah sikit. Ini tidak!”

“Dia kan sayang kat Adlina! Sebab tu lah dia menangis!”

Rahmat menggaru-garu kepalanya dengan perasaan geram. Balik-balik itu juga yang diulang-ulang oleh Timah. Rahmat mahu menukar haluan perbualan.

“Saya tengok, ramai perempuan macam awak pakai tudung--”

“Jadi kenapa? Awak tak suka saya pakai tudung ke?”

“Bukan itu maksud saya... Tapi awak tengok lah budak-budak perempuan dalam Akademi Impiana. Ada yang pakai tudung ke? Tak ada kan?”

“Alah, hak masing-masing--”

“Tapi saya tengok kat rumah Gundutz hari tu... Ada ditayangkan sedutan mereka yang pergi audition. Saya tengok, ada dua tiga pelajar yang bertudung pergi audition. Suara mereka sedap, tapi kenapa tidak dipilih?”

“Tak cukup bagus lah tu. Dah diorang tak ada pakej!”

“Tak cukup bagus atau memang tak mahu ambil perempuan bertudung? Perempuan bertudung ni kira-kiranya tak ada pakej lah ni?”

“Eh tiba-tiba ke sana pulak kenapa ni?”

“Takdelah, saya nak tahu juga kenapa. Saya bertanya sekadar mahu mencari jawapan.” Rahmat melipat bungkusan nasi lemaknya. “Awak tengok diri awak tu. Tengok kawan-kawan awak. Alah, tengok aja lah akak-akak pergi pejabat yang beli kuih muih kat sini. Ramai yang bertudung. Tapi kenapa peserta-peserta Akademi Impiana dari musim pertama sampai sekarang tak ada walau seorang pun yang bertudung?”

“Saya tak tahu kenapa awak bangkitkan isu bertudung ni. Tapi awak sendiri suka tengok saya bila saya tak bertudung. Bila saya bukak tudung saya ni sikit jer awak dah... Stim. Ingat saya tak tahu ke?”

“Isk! Apa plak ni?” Rahmat tersipu-sipu malu. Timah merapatkan bibirnya sambil buat-buat senyum.

Timah memikirkan kembali kata-kata Rahmat tadi. Dia sendiri memakai tudung dan hampir kesemua rakan-rakannya juga bertudung. Tetapi dilihatnya, para pelajar wanita di Akademi Impiana kesemuanya tidak bertudung. Mungkin, artis-artis di Malaysia jika bertudung akan dilabelkan penyanyi lagu-lagu nasyid ataupun menyanyi dalam irama padang pasir. Mungkin itu sahaja layaknya penyanyi wanita yang bertudung di Malaysia, fikir Timah di dalam hati.

“Jadi apa lagi yang berlaku semalam? Ada pemilihan lagu baru, kan?” tanya Rahmat. Dia mula menghidupkan putung rokoknya.

“Sejak bila pulak awak berminat dengan Akademi Impiana ni?”

“Saja jer. Tak boleh ke?” jawab Rahmat dengan selamba.

“Boleh.” Jawab Timah sambil mengesat bibirnya dengan kertas tisu.

“Jadi... Fyrul yang awak minat sangat tu akan nyanyi lagu apa?”

“Lagu kumpulan Carefree... Kumpulan ni rasa-rasanya dari era 70-an.”

“Ye lah. Tak kan lah dari era 90-an pulak. Tak kan lah awak tak kenal dengan kumpulan Carefree.”

“Tak kenal lah. Mana saya ada dengar lagu-lagu lama ni semua...”

“Alah, kalau dia nyanyi lagu Carefree ni pon, nanti yang keluar suara kepit dia jugak.”

“Apa suara kepit?” Terbeliak mata Timah dibuatnya. “Ni mesti awak belajar cakap benda ni semua dari Gundutz kan? Bencilah awak ni!”

“Alah, sekali-sekala, apa salah. Dia kan kawan baik awak.” Rahmat ketawa kecil. Didapatinya wajah Timah berubah masam. “Sia dapat lagu apa?”

“Dapat lagu Tegar oleh Rossa... Dia kata lagu ni bermakna buat dirinya, sebab anak dia suka lagu ni.” Jawab Timah dengan cepat.

“Anak dia yang kecik-kecik tu pun dah minat lagu Tegar?”

“Lagu popular... Minat lah diorang.”

“Budak-budak zaman sekarang... Belum disuruh belajar membaca dan mengira dah pandai hafal lagu, kan?”

“Dah minat diorang ke situ...”

“Kalau saya ada anak... Saya nak ajar anak saya membaca dan mengira sebelum mereka nak habiskan masa diorang belajar menyanyi. Saya nak mereka rajin. Saya nak pentingkan pelajaran. Saya tak nak diorang jadi macam saya. Kena kerja berat angkat barang masuk keluar stor. Dapat duit tak seberapa.” Ujar Rahmat dengan nada perlahan. Dia menarik nafasnya panjang-panjang.

“Alah, kalau diorang nak jadi penyanyi pun apa salah! Penyanyi sekarang boleh jadi kaya. Boleh jadi glamor!”

“Tak salah. Tapi kalau boleh saya tak nak anak-anak saya jadi penyanyi. Carilah kerja-kerja biasa. Saya tak kisah. Asalkan jangan jadi penyanyi!”

“Awak anti sangat dengan penyanyi ni kenapa?” tanya Timah sambil bercekak pinggang.

“Tak ada apa-apa.” Jawab Rahmat pantas. Dia tertunduk ke bawah. Dia menarik nafas resah sebelum dia menyambung: “Timah... Awak tak pernah minat nak masuk Akademi Impiana ke?”

“Eh tak nak lah. Cukup lah si Gundutz tu berangan sensorang nak jadi artis! Saya tak mahulah. Saya segan.”

“Tapi awak ada bakat. Saya suka dengar awak menyanyi berduet dengan Gundutz. Suara awak memang sedap. Muka awak pun cantik. Awak tahu saya syok kat awak sebab awak cantik, kan?”

Timah tergamam. Rahmat tidak pernah memujinya begini. Malah, setahunya Rahmat tidak pernah memberitahunya mengapa dia mahu berkawan rapat dengannya sehinggalah mereka menjadi sepasang kekasih.

“Awak ingat tak, masa kita pertama kali jumpa? Masa tu keadaan awak basah kuyup. Saya tak pernah tengok wajah secantik awak. Terus saya suruh awak naik motor saya dan hantar awak pulang--”

“Eh, awak demam ke?” tanya Timah yang tidak percaya dengan apa yang didengarnya. “Awak ambik ganja lagi ke? Kan saya cakap jangan isap benda tu semua!”

“Eh takdelah. Saya dah lama berhenti!” Rahmat berdiri lantas menggerakkan kerusinya agar dia dapat duduk dekat kepada Timah. “Saya serius ni. Saya kenal dengan ramai budak-budak perempuan yang cantik-cantik--”

“Tahulah awak tu hensem. Budak-budak kat kilang saya pun ramai yang minat kat awak...” Timah memerli, walaupun dia tahu apa yang dikatakan itu benar.

“Awak tak bagi saya sambung... Apa yang nak saya katakan adalah, walaupun ramai budak-budak perempuan yang cantik-cantik yang saya kenal, bagi saya awak lagi cantik dari mereka semua. Awak sendiri pun tahu kan?”

Timah tersipu-sipu malu. “Adlina lagi cantik tau!”

“Entahlah... Saya tak minat dengan diorang tu semua. Saya tak suka dengan penyanyi tu semua.” Nada Rahmat berubah tegas. Dia memberi isyarat tangan kepada pelayan warung bahawa dia ingin membayar harga makanannya.

Timah menggaru-garu keningnya. Dia tidak faham mengapa Rahmat cukup benci dengan para penyanyi... Timah rasa, mungkin Rahmat ada menyimpan rasa benci yang amat sangat terhadap penyanyi-penyanyi Akademi Impiana tanpa pengetahuannya sendiri.

Related Posts with Thumbnails

www.gua.com.my

sultanmuzaffar - entertainment blogger